Wednesday, May 8, 2013

Kem Kepimpinan Bersepadu 5 - 6 April


MATLAMAT

Melahirkan pemimpin pelajar yang mampu memimpin pelajar dan persatuan yang dipegang bagi mencapai kecemerlangan selaras dengan visi dan misi sekolah






























Friday, July 20, 2012

Guru Penasihat

Spesifikasi:
  • Merancang dan menjalankan aktiviti Badan Pengawas.
  • Mendapatkan nama-nama calon yang layak untuk temu duga Pengawas.
  • Menjalankan temu duga calon Pengawas.
  • Mengeluarkan senarai calon yang layak untuk Pengawas Percubaan.
  • Melantik calon yang layak sebagai Pengawas Percubaan seterusnya Pengawas       Sekolah.
  • Menyelia tugasan Pengawas.
  • Menyelia Perhimpunan Mingguan.

PROSES PEMILIHAN PENGAWAS


Pemilihan Pengawas Biasa

Pemilihan Pengawas Sekolah melalui beberapa peringkat iaitu:
  1. Borang Permohonan akan dibuka pada bulan Februari bagi menampung penyusutan bilangan Pengawas akibat daripada pertukaran pengawas ke sekolah lain pada bulan Februari dan pengurangan tugasan bagi Pengawas Tingkatan 3 dan 5 pada bulan Jun.
  2. Guru Kelas juga akan mencalonkan nama-nama yang sesuai di dalam kelas seliaannya melalui borang yang disediakan dan penama-penama dalam borang tersebut juga perlu mengambil Borang Permohonan Pengawas Sekolah untuk digunakan ketika sesi temu duga.
  3. Seterusnya calon-calon ini akan ditemu duga oleh Panel Penemu duga yang terdiri daripada guru-guru disiplin sekolah. Pemarkahan akan berdasarkan beberapa kriteria khas yang telah ditetapkan.
  4. Murid yang melepasi proses temuduga itu akan disenarai pendek dan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Sekolah sebagai tapisan terakhir.
  5. Murid yang berjaya akan diberi peluang/tugas yang bertindak sebagai “Pengawas Percubaan” selama 3  bulan.
  6. Pengawas Percubaan akan dibimbing dan dipantau oleh Pengawas Senior dalam bidang tugas yang telah ditetapkan. Perjumpaan dan nasihat akan dilakukan oleh Guru Penasihat Badan Pengawas dari semasa ke semasa.
  7. Selepas itu, pengawas percubaan yang telah lulus ujian tersebut akan dilantik secara rasmi dalam Majlis Anugerah Watikah Pelantikan pada bulan Jun setiap tahun.
  8.  
Pemilihan Ketua Murid / Penolong Ketua Murid
  1. Calon Ketua Murid dan Penolong Ketua Murid akan dicalonkan oleh guru penasihat, dan guru-guru disiplin dengan persetujuan pihak pentadbir.
  2. Undian akan dijalankan dalam kalangan pengawas sendiri kerana mereka lebih mengenali kelayakan rakan sebaya, dan juga guru-guru melalui kertas undian yang disediakan sekiranya calon ramai.
  3. Seterusnya, calon ini akan menghadiri sesi temuduga yang diketuai oleh Pengetua sekolah, dan disertai oleh Kaunselor dan Guru-guru Kanan Pentadbiran.
  4. Calon yang lulus dalam sesi temuduga ini akan diumumkan secara rasmi pada bulan Jun setiap tahun di hadapan khalayak umum iaitu murid dan guru dalam satu majlis perhimpunan rasmi khas.
  5. Mereka akan mengambil alih tugas murid tingkatan 5 yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  6. Akhirnya, Jawatankuasa Induk yang baru pula akan terbentuk untuk memimpin organisasi sehingga ke pertengahan tahun berikutnya.

LATAR BELAKANG


Badan Pengawas “PREFECT” ataupun Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) merupakan satu organisasi kepimpinan pelajar yang ditubuhkan di setiap sekolah mahupun di mana-mana institusi pengajian tinggi bagi membantu pihak sekolah ataupun institusi pendidikan dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sekolah. Badan Pengawas Sekolah merupakan cabang Jawatankuasa Disiplin di bawah seliaan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Bilangan keanggotaan badan ini tertakluk kepada perlantikan oleh pihak sekolah. Keanggotaan badan ini di SMK Bukit Rangin adalah seperti berikut:
  • Guru Penasihat (dari Ahli Lembaga Disiplin Sekolah)
  • Ketua Pengawas (seorang lelaki)
  • Penolong Ketua Pengawas (seorang perempuan)
  • Setiausaha Badan Pengawas
  • Penolong Setiausaha Badan Pengawas
  • Bendahari Badan Pengawas
  • Penolong Bendahari Badan Pengawas
  • Biro-biro

Keperluan Pengawas
  • Membantu melicinkan sistem pentadbiran sekolah.
  • Menjadi perantara antara murid biasa dengan guru/sekolah.
  • Membimbing murid biasa daripada aspek disiplin diri, sahsiah, etika dalam kehidupan dan seterusnya akademik.
  • Membantu menguruskan atau mengendalikan sesuatu majlis/upacara rasmi sekolah.
  • Menjadi idola atau “role model” yang berperwatakan protagonis kepada pelajar.
  • Membantu merealisasikan visi sebuah sekolah dan Negara Malaysia.
  • Mampu melahirkan generasi pemimpin yang cemerlang dan generasi murid yang cemerlang.

Visi

Melahirkan murid-murid yang bertanggungjawab terhadap ilmu yang dipelajari, berdisiplin dan berkebolehan menerajui sebuah kepimpinan seterusnya mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis, dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Misi

  • Mewujudkan disiplin diri yang tinggi.
  • Memupuk sikap kepimpinan dalam kalangan murid.
  • Memimpin murid untuk membuat keputusan yang wajar.
  • Memupuk peribadi murid yang sentiasa patuh kepada peraturan, berkewibawaan dan bertanggungjawab.
Moto

Berdisiplin Berbakti Bermotivasi Tonggak Jati Diri

Logo

<>
Definisi:
  1. Tulisan di sekeliling logo sekolah : Pengawas sebagai pemelihara imej dan maruah sekolah, membentengi dan berkhidmat untuk sekolah.
  2. Bulatan di sekeliling tulisan : Kesatuan Pengawas dalam sebuah organisasi.
  3. Wana ungu pada tulisan : Warna komersial sekolah.    
  4. Warna merah pada bulatan : Semangat, azam dan komitmen para Pengawas yang membara.

Kriteria Pemilihan Pengawas Secara Am
  • Seorang yang mempunyai tubuh badan yang sihat, akal fikiran yang waras serta cerdas.
  • Boleh berfikir dengan matang.
  • Berfikiran jauh ke hadapan dan terbuka.
  • Mampu menyelesaikan masalah dengan efektif.
  • Mempunyai kemahiran bersosial.
  • Mempunyai kemahiran komunikasi dan pendengaran yang baik.
  • Mampu melaksanakan tugas yang diberi dengan bertanggungjawab.
  • Mempunyai kemahiran fokus kepada perkara yang berlaku dalam kehidupan sekeliling.
  • Selalu menjadi “optimis”dalam keputusan yang dibuat.
  • Melaksanakan tuntutan agama.
  • Mempunyai matlamat/visi dalam kehidupan serta misi untuk mencapai perkara tesebut.
  • Mempunyai Intelligent Quotient (IQ), Emotional Quotient (EQ), dan Spiritual Quotient (SQ) yang mantap.
  • Berpengetahuan luas.
  • Melaksanakan tugas dengan jujur, ikhlas, amanah dan adil.
  • Sentiasa memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan dan belajar daripada kesilapan tersebut.

Rumusan
Dengan gabungan kedua-dua konsep Kepimpinan dan Badan Pengawas di atas, adalah diharapkan para Pengawas Sekolah dapat memahami idea dan tujuan sebenar pelantikan pengawas. Sesungguhnya jawatan Pengawas Sekolah bukan sekadar melambangkan kumpulan elit dalam sesebuah sekolah tetapi juga membawa peranan dan tanggungjawab yang besar dalam pembentukan disiplin murid-murid. Pengawas Sekolah dan kepimpinan sememangnya mempunyai hubungkait yang sangat erat dan dengan kefahaman yang jelas hubungan antara kedua-duanya, maka sekolah akan mampu melahirkan generasi pemimpin murid yang mempunyai hala tuju yang mantap dan kukuh untuk mencapai kecemerlangan visi dan misi sesebuah organisasi. Sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, Pengawas Sekolah juga diharapkan dapat membantu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada berlakunya kemungkaran.

Tuesday, March 6, 2012

Perjumpaan Bersama Mantan Ketua Murid 2009

Walaupun telah lama meninggalkan SMK Bukit Rangin, tetapi mantan Ketua Murid 2009, Saudara Mohd Shafiq bin Mohd Ali (dan Sdr. Mohd Qhairy b Jamal - bekas pengawas) masih lagi menunjukkan keprihatinannya kepada sekolah khususnya Badan Pengawas. Beliau yang sekarang menuntut di Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) bertandang ke sekolah untuk bertanyakan khabar para pengawas dan berkongsi buah fikiran serta pengalaman yang diperolehinya sepanjang menuntut di insititusi tersebut.





Antara perkara-perkara yang dikongsikan ialah:
  1. Teguran dan nasihat kepada para pengawas supaya lebih bertanggung jawab dan bijak mengatur strategi kerja.
  2. Menggunakan rangkaian sosial Facebook untuk tujuan-tujuan yang lebih berfaedah untuk manfaat bersama seperti memasukkan maklumat semasa Badan Pengawas, tugasan atau notis mesyuarat untuk faedah bersama. Facebook tidak sepatutnya digunakan untuk menyebarkan fitnah atau kata-mengata sesama pengawas.
  3. Elakkan perpecahan dalam kalangan Badan Pengawas. Salah faham yang terjadi boleh dipulihkan dengan permuafakatan dan menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing.
  4. Tangkas dalam melakukan kerja dan tidak bersikap menunggu arahan. Pengawas perlu bertindak mendahului arahan dan bergerak dalam keadaan pantas.
  5. Berbincang dengan guru penasihat sekiranya menghadapi sebarang masalah.

Friday, November 18, 2011

Perjumpaan Akhir

Perjumpaan akhir Badan Pengawas telah diadakan di Anjung Lestari sebelum sesi persekolahan 2011 berakhir bagi memaklumkan beberapa perkara @ peringatan kepada semua Pengawas untuk persediaan tahun 2012.

Antara yang dibincangkan ialah:
  1. Pendaftaran Murid Tingkatan 1 2012. Tarikh : 3 Disember 2011. Masa : 8.00 pagi. Seramai lebih kurang 15 orang pengawas akan terlibat untuk membantu guru-guru semasa pendaftaran murid Tingkatan 1. Pengawas-pengawas yang bertugas dibenarkan memakai baju PJK.
  2. Perhimpunan Isnin 2012. Setiap pengawas akan ditugaskan sebagai Pengacara secara bergilir. Tugasan akan bermula dengan pengawas Tingkatan 5. Pengacaraan akan melibatkan seorang sahaja pengacara. Rasionalnya ialah untuk menyemai keyakinan diri dan keberanian berucap dikhalayak. Kedudukan murid - lelaki di sebelah kanan dan perempuan di sebelah kiri. Ruang pemisah antara murid lelaki dan perempuan adalah untuk laluan Pengetua, Penolong Kanan dan Guru Bidang/Cemerlang.
  3. Bengkel Pengacaraan. Bermula pada minggu pertama. Target: Pengawas Tingkatan 5 dan 4. Dikendalikan oleh Mohd Naiemuddin bin Zakaria dengan dibantu oleh PK HEM dan Guru Penasihat.
  4. Pengawas Tingkatan 2 dan 4 2012. Pengawas Tingkatan 2 dan 4 diminta untuk memberi lebih komitmen kerana tidak terlibat dengan sebarang peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.
  5. Mesyuarat. Mesyuarat Badan Pengawas akan diadakan setiap dua minggu sekali iaitu pada hari Khamis. Kehadiran diwajibkan bagi semua pengawas.
  6. Ujian Warna. Ujian Warna akan diwajibkan kepada semua Pengawas bermula awal tahun depan untuk penentuan kategori @ kumpulan setiap pengawas. Ujian akan dikendalikan oleh Mohd Aiman Zakwan dengan dibantu oleh Unit Kaunseling dan exco-exco.
  7. Yuran. Semua pengawas mesti memastikan yuran tahunan Badan Pengawas sebanyak RM 10.00 seorang  dibayar.
`Berdisiplin Berbakti BerMotivasi Tonggak Jati Diri'